Khamis, 18 Oktober 2012

Susulan serbuan oleh Polis Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, dan Bank Negara Malaysia.


Susulan serbuan bersama terhadap syarikat-syarikat yang disyaki menjalankan skim pelaburan haram menggunakan emas oleh Polis Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, dan Bank Negara Malaysia, berikut ialah maklumat terkini mengenai perkembangan tersebut.

Agensi-agensi yang berkenaan kini sedang merekodkan kenyataan daripada pihak yang terbabit, termasuk para pengarah dan pengurusan kanan syarikat, ejen dan pelabur. Kerjasama daripada pelabur-pelabur yang menjadi mangsa akan memudahkan lagi proses ini. Analisis yang menyeluruh dan terperinci mengenai aset dan liabiliti syarikat kini sedang dijalankan. Arahantelah dikeluarkan kepada pengarah dan beberapa kakitangan utama syarikat tersebut supaya mengisytiharkan aset mereka di Malaysia dan di luar negara, termasuk aset yang dimiliki oleh pasangan dan proksi mereka.

Siasatan ini telah diberikan keutamaan dan semua sumber
yang diperlukan sedang digembleng oleh agensi-agensi penguatkuasaan yang berkenaan untuk mempercepat proses siasatan. Langkah ini diambil supaya penyiasatan dapat dimuktamadkan dengan segera.

Tindakan akan diambil terhadap syarikat-syarikat yang menawarkan skim kewangan atau skim kadar faedah yang melibatkan penipuan dan mengelirukan yang menjanjikan pulangan bulanan tinggi, yang dibiayai melalui bakal pelabur dan bukannya daripada aktiviti perniagaan emas atau apa-apa aktiviti perniagaan yang sah.


Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi:

BNMTELELINK (Pusat Perhubungan Khidmat Pelanggan)
Tel: 1-300-88-5465
Faks: (03) 2174 1515

Kenyataan bersama oleh:

Bank Negara Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
Suruhanjaya Syarikat Malaysia

Sumber: http://www.bnm.gov.my/index.php?ch=bm_press&pg=bm_press_all&ac=2682&lang=bm

Tiada ulasan :